Thursday, August 5, 2010

Histeria dari sudut sains



Wanita mudah 'dirasuk' akibat gagal tangani tekanan

HISTERIA sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria. 

Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan ‘ketua’ yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya. 

“Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.

“Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Bila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan merasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri selain pengaruh psikologi mereka,” katanya.

Begitupun Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.

“Dalam proses rawatan, kita akan analisa ‘ketua’ itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.

Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah serta industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah dan kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.

“Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain. Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.

“Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi,” katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.

Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.

Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya ‘ketua’ yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.

No comments: